Sedar atau tidak, pasti terkadang jiwa insani itu dihimpit naluri untuk bermegah-megah dengan setiap kelebihan yang dimiliki. Tatkala iman mula goyah, taqwa mula merapuh, nafsu merasuk nurani suci, lalu hati tunduk pada bisikan syaitan nan keji. Waktu itu, insani juga bisa terlupa bahawa tiap-tiap satu nikmat yang dikecapinya itu hadir hanya dengan izin Allah s.w.t. Lihatlah, betapa liciknya sang iblis! Sehinggakan, terkadang itu, di dalam jalan dakwah yang mulia ini, mampu terbitnya fitnah yang merugikan. Walhal, amal palsu menampakkan cerminan bahawa kita seolah-olah berada di atas jalan yang benar. Alangkah ruginya jika selama ini segala amal ibadah kita tidak diterima Khaliq! Maha Suci Allah yang tiap-tiap jiwa berada dalam genggamanNya! Kami mohon berlindung daripada melakukan amal yang sia-sia!
Apakah itu amal yang sia-sia?
Itulah amal yang didasari rasa 'ujub, riak dan takabbur. Bilamana landasan keikhlasan sudah mulai robek, diri lantas mendabik dada! Amal ibadah yang sepatutnya dilaksanakan berteraskan ketaatan kepada Ar-Rahman, mula mengintai pengiktirafan manusia lain. Harapan kepada pujian ramai mula berbunga-bunga. Saat ada pula yang lebih berjaya, hasad dengki mula mengambil tempatnya! Saat ada yang tersungkur, dia bersyukur! Betapa, manusia ini hamba yang hina dina. Waras akalnya tidak bersatu dengan kata hati, lalu pantas sahaja mendabik dada tanpa sedikit pun rasa malu. Betapa, dia hampir sahaja terlupa bahawa setiap denyut nadinya itu berada di bawah pengawalan Tuhan Yang Satu.
Pernahkah kita berfikir, sebaik sahaja usai solat fardhu yang kita lakukan; Adakah solatku ini diterima? Masih wujudkah lagi pandangan kasih Allah kepadaku? - Jika ya, teruskanlah istiqamah dengan pertanyaan-pertanyaan sebegini. " Seburuk-buruk pencuri ialah orang yang mencuri di dalam solatnya. Para sahabat bertanya, siapakah orang itu? Maka Rasulullah s.a.w menjawab; orang yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya" -H.R Ahmad. Mengapa penulis mengaitkan soal hina hamba dengan solat? Kerana, solat adalah asas dan merupakan tiang kepada agama seseorang muslim. Malah, amalan pertama yang akan ditanya di akhirat kelak juga merupakan solat fardhu seseorang hamba itu. Jika baik solatnya, maka baiklah seluruh amalannya dan begitulah sebaliknya. Justeru, marilah kita kembali menilai khabar iman dan amal kita. Adakah solat kita mampu mengawal diri daripada melakukan perkara keji dan mungkar seperti apa yang terkandung dalam kalamullah itu? Ikhlaskah kita dalam menunaikan solat, atau hanya atas dasar tidak tahan mendengar leteran ibu ayah? Atau hanya atas alasan amalan ikut-ikutan sahaja? Tanpa sekelumit pun rasa untuk berusaha mengkaji hikmah sebenar solat terhadap diri manusia? Barangkali juga ada di antara kita yang bersolat hanya kerana ingin menunjuk-nunjuk. Maha Suci Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penerima taubat, ampunkanlah dosa kami dan terimalah taubat kami..
Kasih sayang Allah s.w.t meliputi seluruh kerajaan lagit dan bumiNya. Kerana itulah setiap makhluk yang bernyawa mendapat bahagian rezeki mereka masing-masing. Betapa hebatnya rencana Al-Manan dan betapa hinanya nilai seorang hamba! Masakan dengan sedikit tempias nikmat Allah itu dia bisa merasakan diri cukup sempurna? Mengaku diri dengan kemuliaan, mengangkat diri dengan ilmu pengetahuan yang masih cetek pada hakikatnya, memanjangkan mata pada keindahan dunia, dan menghambakan diri kepada nafsu yang menggila, semua ini sifat tercela yang harus dibuang jauh-jauh dengan hanya satu cara. Yakni penyucian nurani hati dengan hiasan sifat tawaddhuk dan semaikanlah rasa jiwa kehambaan kerana sesungguhnya manusia itu tiada daya dalam melawan kekuasaan Allah s.w.t. Ibnu Umar pernah meriwayatkan sebuah hadis, sabda Rasulullah s.a.w yang mulia; " Sesungguhnya, hati ini boleh berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air. Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana cara membersihkannya? " Rasulullah menjawab, "Perbanyakkanlah mengingati mati dan membaca Al-Quran"
Friday, December 12, 2008
HAMBA YANG HINA
Posted by نور حفيظة بنت أبي قاشم at 8:34 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
salam'alaik sahabatku yang dikasihi..
"hamba yang hina" satu artikel yang baik..tersedar diriku dari kealpaan silam..sahabatku, kita telah mengikat janji untuk menjadi sahabat dunia akhirat...janji yang terpatri kerana Allah semata-mata..kita bertemu dengan rahmat Allah dan berjanjilah sahabatku, jika suatu hari nanti kita terpisah, ianya adalah kerana Allah..sahabatku, nasihatilah daku tika daku terleka dan ingatkanlah daku ttg kehidupan dunia yang sementara jika daku lalai..selamat berjuang sahabatku, moga usahamu ini diberkati Allah...siiru 'ala barokatillah...
Erm... satu topk yg sgt bermakna. actually ana pn tgh menyiapkan satu penulisan ttg wabak ini...'ujub.
tp x siap lg... panjang sgt nk simplify dr buku ni...
Syukran krn hasilkan karya bbtuk nasihat ni...
salam..terima kasih sahabat seperjuangan,erm ana pn mmg tertarik dgn artikel ni tcuit hati..
Post a Comment